KEADAAN pendatang asing tanpa izin ketika dia ditemui pegawai imigresen Itali di Bari, semalam.
ROME: Pendatang tanpa izin memang diketahui sanggup melakukan apa
saja asalkan dapat menyusup masuk ke Itali, tetapi penemuan terbaru
semalam dianggap begitu luar biasa.
Seorang pemuda Afghanistan sanggup bersembunyi dalam bonet kereta dengan posisi mengerekot selama 20 jam.
Menurut
polis, pemuda berusia 18 tahun dan tidak didedahkan identitinya itu
berharap dapat masuk ke Itali melalui Bari dengan cara begitu.
Bagaimanapun, kata sumber, usahanya gagal apabila pegawai imigresen
melakukan pemeriksaan mengejut dan menemuinya dalam bonet kereta Nissan
berkenaan.
“Ketika ditemui, pemuda itu bersembunyi di celah enjin kereta dengan berbekalkan sebotol air dan sehelai selimut,” katanya.
Jurucakap
imigresen Bari berkata, mereka menahan kereta berkenaan selepas
mendapati pemandu dan penumpangnya - kedua-duanya warga Bulgaria - dalam
keadaan cemas.
Katanya, kereta itu baru saja tiba di Bari menaiki feri dari Greece.
Jurucakap itu berkata, pemandu terbabit dikenali sebagai Kaloyanov Ivaylo, 24, manakala temannya Georgieva Stanislava, 39.
“Kedua-dua mereka ditahan, manakala pendatang tanpa izin itu terpaksa
dibantu keluar dari bonet berkenaan kerana berada dalam keadaan separuh
sedar,” katanya.
Pemuda Afghanistan itu kemudian dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Feri berkenaan berlepas dari Patras pada pagi Ahad sebelum singgah di Igoumenitsa dan menyambung perjalanan ke Bari.
Laluan
itu memang popular di kalangan penyeludup manusia yang mengenakan caj
minimum 5,000 euro (RM19,664) untuk masuk ke Itali. - DM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan